Sabtu, 20 Disember 2008

Calon BN berkemampuan

KUALA TERENGGANU 20 Dis. - Pemimpin-pemimpin sayap UMNO yakin calon Barisan Nasional (BN) pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh mampu membela nasib rakyat di kawasan berkenaan.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Timbalan Menteri Dalam Negeri itu mempunyai keupayaan untuk berkhidmat dan membela nasib penduduk Terengganu seperti yang ditunjukkan oleh bekas Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Allahyarham Datuk Razali Ismail.
''Saya sudah lama mengenali Wan Ahmad Farid kerana beliau juga merupakan bekas pemimpin Pemuda UMNO.
''Saya yakin beliau mampu meneruskan kesinambungan dan janji-janji yang diberikan oleh Allahyarham Razali kepada rakyat Kuala Terengganu," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pengumuman Calon P036 Kuala Terengganu oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di kediaman rasmi Menteri Besar, Sri Iman di Batu Burok di sini hari ini.
Hishammuddin berkata, penduduk Kuala Terengganu juga perlu memastikan kemenangan Wan Ahmad Farid sebagai menghargai maruah dan pengorbanan Allahyarham Razali kepada mereka.
Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Rafidah Aziz pula melahirkan rasa keyakinannya bahawa rakyat Kuala Terengganu akan memberikan sokongan penuh kepada calon BN tersebut.
''Jentera Wanita UMNO akan bekerja sedaya upaya untuk memastikan kemenangan calon kita dalam pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu itu nanti," katanya.
Ketua Puteri UMNO, Datuk Noraini Ahmad berkata, Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu itu mempunyai pengalaman untuk memenuhi tanggungjawab yang dilaksanakan oleh Allahyarham Razali sebelum ini.
''Saya percaya Wan Ahmad Farid mampu memenuhi kehendak penduduk di Kuala Terengganu seperti Allahyarham lakukan selama beliau memegang jawatan tersebut," ujarnya.
Beliau menambah, Wan Ahmad Farid juga merupakan calon yang sesuai untuk menarik sokongan golongan muda.

2 ulasan:

  1. Pilihan Raya kecil P036 Kuala Terengganu:

    Antara maruah dan kuasa Barisan Nasional.

    BalasPadam
  2. Salam, adakah tuan dari utara? Jika ya, sila sahkan kpd pihak NOBLE bagi tujuan penyenaraian.

    BalasPadam